Aduan kurang, rakyat sudah boleh terima GST, kata Hasan Malek

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata aduan mengenai GST berkurangan, ia bermakna rakyat mulai menerima cukai itu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 14 April, 2015.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek hari ini mengatakan, rakyat sudah memahami dan boleh menerima pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan sejak dua minggu lalu.

Kesimpulan ini dibuat beliau berdasarkan statistik kementerian yang menunjukkan pengurangan dari segi bilangan aduan pengguna yang diterima.

"Saya melihat daripada statistik kementerian, nampaknya aduan sudah mulai berkurangan. Maknanya rakyat sudah mula memahami (GST).

“Bertentangan apa yang diwar-warkan sebelum ini di media sosial, dengan sikap pembangkang dan lain-lain, banyak yang negatif daripada positif.
"Oleh itu alhamdulillah, dua minggu ini rakyat sudah boleh menerima hakikat GST tak membebankan mereka."

Beliau juga menyatakan, maklumat yang diperolehi daripada media massa mengenai GST membuatkan rakyat tidak ada masalah dalam memahami pelaksanaan cukai tersebut.

"GST satu sistem percukaian yang cukup telus. Maknanya, orang tak boleh lari dari membayar cukai dan sebagainya.

“Jadi rakyat sudah boleh memahami, apatah lagi maklumat yang diberikan semua stesen TV, radio, media dan lain-lain, mereka sudah cukup faham."

Sebelum ini dilaporkan, selepas enam hari GST dilaksanakan, kementerian menerima 692 aduan daripada pengguna melalui pusat gerakan anti pencatutan.

Sementara itu, Hasan turut mengulangi hasratnya berhubung penghapusan 10% caj perkhidmatan di restoran dan hotel.

Menurutnya, sementara menunggu keputusan mesyuarat mengenai perkara itu, restoran dan hotel disarankan agar meletakkan notis di pintu masuk premis mereka supaya pengguna sedia maklum mereka mengenakan 10% caj perkhidmatan.

"Saya nampak hotel yang mengenakan 10% caj perkhidmatan tak banyak, sebab tiada 'Collective Agreement' yang mereka tandatangani."

Sabtu lalu, Ahli Parlimen PKR merancang membentangkan rang undang-undang persendirian mengenai caj perkhidmatan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang, bertujuan memperbaharui dan memperbaiki sistem bayaran industri perkhidmatan.

Diterajui Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin dan Ahli Parlimen Kapar G Manivannan, proses itu akan bermula dengan mengumpul maklumat dan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan dalam industri perkhidmatan dan orang awam, untuk memahami masalah mereka.

"Kami akan mulakan dengan menerima aduan, dan mengadakan dialog dengan pihak berkepentingan dalam sektor perkhidmatan, untuk memahami masalah mereka.

"Selepas sesi dialog, kami akan berjumpa Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), dan kami akan mencadangkan rang undang-undang persendirian bagi mengawal masalah caj perkhidmatan," katanya sewaktu kempen #bantahGST.

Katanya, kutipan caj perkhidmatan perlu bagi meningkatkan industri perkhidmatan negara, dan mereka merancang mencadangkan 2% daripada caj perkhidmatan itu digunakan untuk kursus pembangunan pekerja. – 14 April, 2015.

Artikel asal: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/aduan-kurang-rakyat-sudah-boleh-terima-gst-kata-hasan-malek

0 Response to "Aduan kurang, rakyat sudah boleh terima GST, kata Hasan Malek "

Post a Comment